ad

Contoh Kerja Kursus Sejarah Semester 2


Berikut ialah kerja kursus yang dibuat oleh saya. Dilarang meniru. Sebagai rujukan sahaja.


TEMA: Tokoh Sejarah


ISI KANDUNGAN
Tajuk
Halaman
1.0 Pengenalan
1
2.1 Latar Belakan dan Penglibatan Awal Tokoh Dalam Bidang Politik
      2.1.1 Keluarga dan Pembesaran di Sungai Siput
      2.1.2 Pelajaran dan Penglibatan Diri dalam Politik di India
      2.1.3 Penglibatan Awal dalam Perkhidmatan Sosial dan Politik
               di Tanah Melayu


2
2

3
2.2 Usaha-Usaha dan Perjuangan Tokoh Semasa Menjadi Presiden
      Kongres India Malaya (MIC) (1955-1974)
      2.2.1 Perlantikan sebagai Presiden MIC Kelima dan Usaha-
               usaha untuk Memerdekakan Tanah Melayu
      2.2.2 Jawatan-jawatan dalam Kabinet yang Dipegang dan
               Pembinaan Keutuhan Pentadbiran Negara



5

7
2.3 Sumbangan Tun V.T. Sambanthan terhadap Kaum India
      Malaysia (1955-1974)
      2.3.1 Penubuhan National Land Finance Co-operative Society
               Ltd. (NLFCS)
      2.3.2 Pembela Budaya dan Agama
      2.3.3 Perangsang Perpaduan Rakyat India dan Kaum-kaum
               Tanah Melayu



10
11

11
3.0 Kesimpulan
13
Nota Hujung
14
Bibliografi
15
Lampiran
16 - 21




1.0  PENGENALAN

Penulis telah menjalankan suatu kajian mengenai Tun V.T. Sambanthan, yang merupakan seorang tokoh yang sangat penting dalam sejarah kemerdekaan Tanah Melayu. Beliau merupakan antara pejuang kemerdekaan tempatan dan telah banyak memberikan sumbangan yang bermakna kepada rakyat Malaysia sepanjang kehidupannya. Beliau telah berjuang untuk memerdekakan Tanah Melayu bersama Tunku Abdul Rahman dan merupakan salah seorang yang menandatangani Perjanjian Kemerdekaan. Beliau juga telah banyak berjasa kepada masyarakat India di Malaysia semasa beliau memegang jawatan sebagai Presiden Kelima Kongres India Malaya (MIC) dari tahun 1955 hingga 1974.
Kajian ini telah difokuskan kepada sejarah latar belakang Tun V.T. Sambanthan dan sumbangan beliau dari sudut politik, pendidikan, falsafah dan sosial kepada rakyat Malaysia dari tahun 1955 hingga 1974. Penglibatan awal dan peranan beliau dalam bidang politik Malaysia turut dikaji. Sumbangan dan pencapaian beliau yang baik sepanjang tempoh masa tersebut telah menjadikan beliau begitu dikenali dan disegani ramai pihak, serta mengukuhkan nama beliau dalam sejarah Malaysia.
Kajian juga berkisar tentang keupayaan beliau sebagai seorang ahli politik dan pekerja perkhidmatan sosial yang menggunakan peluang untuk melibatkan diri dalam pembangunan masyarakat India di Malaysia ekoran kemerdekaan daripada penjajahan kuasa British. Pengkaji juga telah meninjau dengan sendiri ke kawasan yang dibangunkan oleh beliau serta rumah kediaman beliau di Sungai Siput, Perak.
Antara objektif kajian ini dijalankan adalah untuk mengkaji peranan Tun V.T. Sambanthan semasa menjadi Presiden Kongres India Malaya (MIC) dari tahun 1955 hingga 1974. Selain itu, pengkaji juga ingin mengenal pasti sumbangan beliau terhadap kaum India di Malaysia sepanjang tempoh tersebut.

2.1  LATAR BELAKANG DAN PENGLIBATAN AWAL TOKOH DALAM BIDANG POLITIK

2.1.1 Keluarga dan Pembesaran di Sungai Siput
Tun Veerasamy Thirunyana Sambanthan, atau lebih dikenali sebagai Tun V.T. Sambanthan, dilahirkan pada 16 Jun 1919 di Sungai Siput (U), Perak. Beliau merupakan anak kedua daripada empat orang anak kepada M.S. Veerasamy yang telah datang ke Tanah Melayu pada tahun 1890 dan isterinya Puan Senggambal. Ayah beliau merupakan seorang penoreh getah dan mempunyai beberapa ladang getah di Sungai Siput. Beliau telah lahir dan membesar di rumah kediaman keluarganya di Taman Lintang, Sungai Siput, Perak. Beliau dikatakan seorang pelajar yang cerdik dan sangat mesra. Beliau telah memulakan pendidikan rendahnya dalam aliran Tamil. Setelah menamatkan pengajian sekolah menengah dan “Senior Cambridge”nya di Clifford High School, Kuala Kangsar, Perak, beliau telah menyambung pendidikan tingginya di Universiti Annamalai di India Utara dan telah memperoleh ijazah Sarjana Muda Sastera di situ.

2.1.2 Pelajaran dan Penglibatan Diri dalam Politik di India
Dari umur yang muda lagi, Tun V.T. Sambanthan sangat meminati dan menghormati ajaran Mahatma Gandhi, yang telah menjadi idola beliau sepanjang kehidupannya. Sewaktu belajar di India, beliau telah banyak membuat penyelidikan  tentang ajaran falsafah dan sumbangan politik Mahatma Gandhi, terutamanya nilai “ahimsa” (bebas keganasan) dan “satyagraha” (menegakkan kebenaran) dalam perjuangan beliau memerdekakan India.1 Selain itu, Tun Sambanthan turut tertarik kepada pendapat-pendapat Subash Chandra Bose dan Jawaharlal Nehru, yang menjadi perdana menteri India yang pertama. Beliau juga telah mengambil bahagian dalam beberapa pemberontakan yang diketuai oleh pergerakan “Quit India” menentang pengaruh kuasa British di India2. Hal ini dipercayai merupakan antara pengaruh dan inspirasi beliau untuk melibatkan diri dalam perkhidmatan sosial dan bidang politik.

2.1.3 Penglibatan Awal dalam Perkhidmatan Sosial dan Politik di Tanah Melayu
Ketika kematian ayahnya pada tahun 1942, Tun Sambanthan teperangkap di India akibat Perang Dunia Kedua yang berleluasa. Setelah kembali ke Tanah Melayu pada tahun 1946, beliau telah mengambil alih bisnes ayahnya, termasuk kesemua ladang getah milik keluarganya. Beliau turut sangat rajin melakukan kerja-kerja amal pada ketika itu.
Beliau sangat prihatin dan mengambil berat tentang keperluan dan perkembangan komuniti estet, dan menjadi sangat mesra dengan mereka. Kesedaran politik beliau mula bercambah apabila menyedari bahawa kaum India di Tanah Melayu memerlukan pemimpin berwibawa untuk memperjuangkan nasib mereka yang masih ketinggalan dalam perkembangan sosial.3 Beliau terutamanya menitikberatkan ketinggian tahap buta huruf dan kemiskinan masyarakat pedalaman India.
Pada tahun 1953, beliau telah menjadi wakil Kongres India Malaya (MIC) Negeri Perak, dan telah memulakan Majlis India Bersatu Perak (Perak United Indian Council) bagi mengukuhkan kesatuan masyarakat India dan membantu buruh-buruh India.
Dengan bantuan Senior Inspector of Schools, seorang pegawai British, Tun Sambanthan telah membina SJK(T) Mahatma Gandhi Kalasalai, Sungai Siput (U), Perak. Beliau merupakan seorang pemurah kerana beliau dengan relanya telah memberikan ladang kelapa yang mempunyai tanah seluas tiga ekar milik bapanya untuk dijadikan tapak pembinaan sekolah. Selain itu, beliau bersama keluarganya telah menderma sebanyak $25,000 dan menerima $7,000 hasil pengumpulan buruh estet untuk pembinaan sekolah tersebut. Segala reka bentuk sekolah Tamil ini merupakan hasil gabungan seorang arkitek bernama Everson dan Tun Sambanthan sendiri. Sekolah ini direka dengan sebuah dewan yang dinamakan Dewan Gandhi dan mempunyai sebuah patung Mahatma Gandhi dari India, serta enam buah bilik darjah yang dianggarkan boleh menampung sebanyak 160 orang murid. Dalam proses pembinaan sekolah ini, Tun sentiasa berbincang bersama masyarakat estet agar mereka mengetahui perkembangan pembinaan sekolah tersebut.4
Peristiwa perasmian sekolah tersebut menjadi lebih bermakna kerana kehadiran Vijaya Lakshmi Pandit, Pengerusi Majlis Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan adik kepada Perdana Menteri India, Pandit Jawaharlal Nehru, bagi merasmikan majlis pembukaan sekolah tersebut atas jemputan Tun Sambanthan, yang telah menjalinkan hubungan yang erat dengan beliau ketika di India.5
Selain membina sekolah dan menolong masyarakat estet, Tun Sambanthan juga telah membuka kelas Tadika di kawasan bangunan sekolah tersebut. Hal ini kerana, beliau berpendapat bahawa pendidikan prasekolah dan kemudahan yang selesa diperlukan bagi kanak-kanak mempunyai kecekapan untuk mempelajari sesuatu yang baharu. Pada mulanya hasrat beliau ini ditentang oleh pegawai-pegawai British tetapi jawatan yang disandang oleh Tun mengatasi segala tentangan yang dihadapinya. 4
Beliau juga telah berusaha untuk memperkenalkan bahasa Inggeris sebagai medium penting di sekolah-sekolah Tamil di Perak, serta transformasi Dana Buruh Imigrasi India Selatan menjadi dana untuk membantu anak-anak pekerja ladang mendapatkan pendidikan.1 Kegigihannya membantu masyarakat India mendapat pendidikan telah menarik perhatian pegawai-pegawai kerajaan tempatan dan beliau telah diberikan keahlian dalam “Board of Councillors” (Majlis Lembaga) Jabatan Pendidikan Negeri Perak.
Tidak lama kemudian, beliau telah diberikan peluang untuk mengetuai Kongres India Malaya (MIC) Negeri Perak.

2.2  USAHA-USAHA DAN PERJUANGAN TOKOH SEMASA MENJADI PRESIDEN KONGRES INDIA MALAYA (MIC) (1955-1974)

2.2.1 Perlantikan sebagai Presiden MIC Kelima dan Usaha-usaha untuk Memerdekaan Tanah Melayu
Pada tahun 1954, Pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan dirancang. Beberapa pemimpin Pemuda MIC yang diketuai oleh S.P Narayanasamy (Ketua Pemuda MIC Kuala Lumpur) berpendapat bahawa Tun Sambanthan adalah orang yang paling layak bagi jawatan Presiden MIC. Beliau terpilih atas beberapa faktor seperti latar belakang keluarganya yang kaya, berpendidikan tinggi, berbangsa Tamil dan berlatar belakangkan estet. Tun juga dipercayai memiliki kesemua ciri yang harus ada dalam diri seorang pemimpin yang mewakili rakyat dan mengetuai sesebuah pertubuhan. Walaupun Tun pada awalnya menolak tawaran tersebut, atas desakan ahli MIC, beliau akhirnya terpilih menjadi Presiden MIC kebangsaan sementara.
Dalam pilihanraya Majlis Perundangan Persekutuan 1955, Tun Sambanthan telah menang dengan 7900 undian di Sungai Siput. Kemenangan Tun Sambanthan adalah di ‘constituencies where the Malays were in a majority.’ Dalam pilihanraya ini, MIC hanya diperuntukkan satu kerusi sahaja dalam cabinet yang bakal dibentuk kerana hampir kesemua kawasan tidak mempunyai majority penduduk India. Dengan itu, Tun Sambanthan dilantik sebagai Menteri Buruh pertama dalam kerajaan Perikatan, 1955. Pada 21 Mei 1955, Tun Sambanthan telah memberikan ucapan sebagai Presiden MIC buat kali pertama dalam Mesyuarat Agung Tahunan pertama bagi parti MIC. Beliau telah menyentuh banyak isu seperti masalah sosial dalam kalangan kaum India, peranan kaum India dalam politik Persekutuan Tanah Melayu, Tabung Imigrasi Buruh India, kewibawaan parti MIC dan sebagainya ketika memberikan ucapannya.4
      Tun Sambanthan bersama dengan Tunku Abdul Rahman dan Tun Tan Cheng Lock telah bekerjasama untuk membina pembangunan negara. Beliau berjaya menyatupadukan orang India di bawah payung MIC bagi menunjukkan ketaatsetiaan kepada parti Perikatan yang bakal membentuk kerajaan sendiri di Tanah Melayu. Usaha ini menjadi lebih mudah apabila beliau sendiri turun ke padang bagi mendapatkan taraf kerakyatan kepada orang India7. Ini kerana orang India yang menjadi rakyat Persekutuan Tanah Melayu sahaja layak untuk membuat undian. Tun sendiri pernah membantu mengisi borang-borang permohonan taraf kerakyatan bagi orang India di estet. Melalui ceramah-ceramah, Tun Sambanthan dapat meyakinkan orang India bahawa Tanah Melayu adalah tanah air baru mereka dan segala bakti dan taat setia perlu dicurahkan kepada kerajaan Persekutuan tanpa sebarang kesangsian.
      Segala usaha Tun Sambanthan dalam memperolehi kerakyatan bagi orang India telah meyakinkan Tunku Abdul Rahman tentang kesetiaan orang India terhadap Tanah Melayu. Pada masa itu (1955-57), Tunku Abdul Rahman sedang mengorak langkah ke arah rundingan kemerdekaan. Pada Mei 1957, Tun Sambanthan telah menyertai rombongan rundingan kemerdekaan terakhir ke London. Kehadiran Tun Sambanthan hanya sebagai pemimpin Perikatan yang turut serta dalam menuntut kemerdekaan. Setelah kembali dari London, Tunku mengisytiharkan 31 Ogos 1957 sebagai tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.
      Sebagai Presiden MIC selepas kemerdekaan Tanah Melayu, sasaran utama beliau adalah perubahan dalam organisasi parti MIC. Sebelum Tun menjadi Presiden, MIC hanya mempunyai 35 cawangan, dan mempunyai banyak kelemahan dari segi kepimpinan, keahlian dan cawangan. Tun merupakan Presiden MIC pertama yang telah berusaha menambahkan keahlian dalam kalangan orang India estet. Beliau juga telah menggalakkan penggunaan bahasa Tamil secara berleluasa bagi memudahkan penyampaian mesej parti dan kerajaan.
Pemimpin-pemimpin sebelum Tun Sambanthan tidak berinisiatif untuk menyatu padukan orang India, terutamanya 90% orang Tamil yang tinggal di estet. Tun telah mengadakan lawatan demi lawatan ke estet bagi mendaftarkan ahli MIC. Beliau juga telah membenarkan penubuhan cawangan di kawasan-kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk India. Pada tahun 1959, parti MIC mempunyai 151 cawangan. MIC yang dikerumuni oleh golongan elit India bandar sudah berubah wajah. Mulai 1955, MIC mula mendukung kepentingan keseluruhan orang India di Tanah Melayu. Akhirnya, Tun Sambanthan berjaya menjadikan MIC sebagai parti massa.
Pada ketika itu, Tun menerima banyak peluang untuk menyertai pelbagai peristiwa penting kerana beliau memegang kuasa sebagai pemimpin Perikatan dan merupakan wakil masyarakat India dalam pentadbiran negara. Antara peristiwa penting yang disertai oleh beliau ialah Perundingan Penubuhan Malaysia (1963), Pemisahan Singapura dari Malaysia (1965) dan Penamatan Konfrontasi (1966).6

      2.2.2 Jawatan-jawatan dalam Kabinet yang Dipegang oleh Tun V.T. Sambanthan dan Pembinaan Keutuhan Pentadbiran Negara
      Era politik tahun 1960-an merupakan tempoh yang rumit dan pemimpin-pemimpin Perikatan cuba menyatupadukan penduduk Tanah Melayu dalam membentuk kesetiaan terhadap negara. Tun dalam setiap mesyuarat Agung Tahunan MIC meluluskan resolusi berkenaan kesetiaan orang India terhadap Tunku Abdul Rahman dan kerajaan Perikatan. Beliau juga pernah dikritik kerana memecat beberapa pemimpin bawahan MIC atas sikap ketidaksetiaan mereka terhadap parti Perikatan. Pada tahun 1956, beliau diminta meletakkan jawatan sebagai Presiden MIC oleh Ketua MIC negeri Perak, Gurusamy disebabkan Tun Sambanthan terlalu mementingkan karier menteri. Beliau sendiri pernah mengakui sebagai pemimpin Perikatan adalah menjadi tanggungjawab untuk menjaga kepentingan semua kaum di Tanah Melayu.
Selepas memenangi pilihanraya Majlis Perundangan 1955, beliau dilantik sebagai Menteri Buruh pertama Tanah Melayu. Beliau telah memulakan program Gabungan Estet atau ‘regrouping’ bagi mengatasi masalah pemecahan estet atau fragmentasi dan komunisme.
Pada tahun 1957, beliau bertukar portfolio selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Hospital Bersalin Kuala Lumpur dan Hospital Universiti Petaling Jaya dibina semasa Tun Sambanthan menjadi Menteri Kesihatan7. Beliau berjaya menyalurkan banyak peruntukan kerajaan kepada program latihan kakitangan kesihatan dan pembanterasan penyakit-penyakit khas seperti batuk kering, malaria dan sebagainya.
Pada tahun 1959, pilihanraya umum pertama diadakan dan Tun Sambanthan telah diberi jawatan Menteri Tenaga, Telekom dan Pos. Selama 10 tahun beliau berkecimpung dalam bidang ini. Di bawah pengawasannya, projek lebuhraya pertama di Tanah Melayu, Tanjung Malim ke Slim River telah siap dibina. Bangunan-bangunan nasional seperti Parlimen, Masjid Negara dan Tugu Negara telah didirikan. Dalam bidang pos pula, beliau telah menggalakkan pengeluaran setem berunsurkan peristiwa-peristiwa penting negara serta mengandungi pelbagai corak dan berwarna-warni. Beliau telah menumpukan perhatian khas dalam bidang pembangunan telekomunikasi negara. SEACOM (The Southeast Asia Commonwealth Cable Scheme) merupakan projek kabel dasar laut yang bermutu dari England merentasi Lautan Atlantik ke Kanada, New Zealand, Australia dan Asia Tenggara telahpun diwujudkan. Manakala, CUMSAT (1970) adalah satelit bumi pertama dilancarkan di Kuantan. Pelancaran satelit ini dapat mengurangkan bantuan kabel. Beliau bersungguh-sungguh dalam mewujudkan rangkaian komunikasi antara Tanah Melayu dengan negara-negara Asia Tenggara lain.
Sebagai Menteri paling kanan dalam kabinet pada tahun 1970, Tun Sambanthan dipertanggungjawabkan kepada Kementerian Perpaduan (1970-74). Krisis 13 Mei 1969 merupakan satu episode hitam dalam sejarah perkembangan politik negara. Bagi memulihkan keadaan dan hubungan sesama kaum, Tun Sambanthan telah mengawasi pengendalian beberapa program perpaduan. Antara yang terpenting adalah kelas perpaduan rakyat bagi golongan yang berumur 15 tahun ke atas dan kurang fasih dalam Bahasa Melayu. Kelas-kelas ini menekankan penghayatan Rukun Negara. Pada tahun 1974, matapelajaran Sivik atau Tatarakyat disertakan dalam kurikulum sekolah. Tadika Kelas Kemajuan Masyarakat (KEMAS) merupakan pendidikan pra-sekolah, dimulakan di semua kawasan perumahan. Program-program di bawah Kementerian Perpaduan adalah ditujukan kepada semua kaum di Tanah Melayu yang bermatlamatkan perpaduan. 6



2.3  SUMBANGAN TUN V.T. SAMBANTHAN TERHADAP KAUM INDIA MALAYSIA (1955-1974)

2.3.1 Penubuhan National Land Finance Co-operative Society Ltd (NLFCS)
      Pada Mei 1960, Tun Sambanthan telah mengasaskan National Land Finance Co-operative Society Ltd. (NLFCS) sebagai syarikat kooperasi yang bermatlamat untuk membeli ladang-ladang yang difragmentasikan secara ansuran dari hasil jualan saham koperasi berharga $100 seunit. Dalam tempoh 20 tahun (1960-79), sebanyak 20 ladang telah dibeli oleh NFLCS. Program-program sosioekonomi seperti projek perumahan, skim insurans berkumpulan dan pinjaman pendidikan tinggi telah dilancarkan bagi mempertingkatkan taraf hidup burh India di estet.
      Tun Sambanthan selaku Pengerusi NLFCS kerap mengadakan ceramah mengenai matlamat penubuhan NLFCS supaya ramai buruh estet dapat melabur dalam koperasi ini. Pada tahun 1980-an, NFLCS menghadapi kerumitan akibat beban hutang kerana perbelanjaan koperasi bagi membiayai program-program sosioekonomi melebihi keuntungan yang diperoleh. Lama-kelamaan, NFLCS bertindak sebagai badan kebajikan buruh estet. Adakalanya, Tun Sambanthan terpaksa mengeluarkan wang sendiri untuk melangsaikan hutangnya7. Beliau banyak kehilangan harta keluarganya bagi meneruskan pengoperasian NFLCS.
      Segelintir yang memusuhi Tun menuduh NFLCS mendapat naungan politik (political patronaj) sedangkan pada dasarnya penubuhan koperasi perlu bebas dari campurtangan politik. Tun Sambanthan pernah meminta P.P Narayanan untuk menguruskan NFLCS. Keenganan beliau menyebabkan Tun Sambanthan dan beberapa ahli jawatankuasa tinggi MIC menjadi anggota Lembaga NFLCS. Tun Sambanthan menjadi Pengerusi NFLCS  seumur hidup tanpa memegang saham koperasi. Tun tidak menganjak daripada pendiriannya kerana usaha drastik yang diambil pada tahun 1960 telah menyedarkan kerajaan Perikatan untuk merangka Akta Fragmentasi 1968. Walaupun NFLCS tidak dapat membeli beribu-ribu hektar ladang getah tetapi langkah yang diambil memberi keyakinan kepada buruh estet untuk terus menetap di Tanah Melayu.6

2.3.2 Pembela Budaya dan Agama
Tun Sambanthan merupakan seorang penganut agama Hindu yang kuat. Beliau berpegang kuat sehinggakan banyak sumber dana beliau disalurkan kepada kuil. Perkara ini terbukti kerana beliau pernah membina semula beberapa buah kuil atas usaha beliau sendiri.
Tun juga berusaha supaya amalan kebudayaan dan muzik tradisional tidak dilupakan dalam arus pemodenan pengaruh Barat. Dengan itu, beliau menjemput para pelakon dan ahli muzik dari India Selatan supaya masyarakat India Malaya tidak lupa asal-usul budaya mereka. Beliau juga tidak ketinggalan menghadiri upacara sembahyang yang dijalankan di kuil-kuil setempat. Dengan berbuat demikian, para pengikutnya turut mengikuti beliau dan memahami kepentingan ajaran agama.4

2.3.3 Perangsang Perpaduan Rakyat India dan Kaum-kaum Tanah Melayu
Sumbangan Tun Sambanthan sebagai Presiden MIC dan pembela rakyat India memang tidak dapat dinilai dengan mata kasar. Dari tahun 1955 hingga 1974, Tun Sambanthan telah menjadi Presiden MIC kebangsaan dan juga Menteri dalam Kabinet Kerajaan Perikatan. Tugas-tugas yang dilaksanakan sebagai Menteri turut dimanfaatkan oleh seluruh rakyat Persekutuan Tanah Melayu. Program-program yang dilaksanakan turut dirasai oleh orang India. Beliau pernah menggunakan kedudukannya sebagai Menteri untuk menjaga kepentingan orang India. Beliau telah menegaskan kepada orang India “sekiranya hendak lebih, mereka perlu berdikari.”
Demi memperkukuhkan perpaduan negara, Tun Sambanthan sentiasa menjadikan isu perpaduan sebagai agenda utama ketika mengadakan mesyuarat MIC, terutamanya kerana terdapat beberapa kumpulan orang India yang sering mengadakan perjumpaan haram untuk menyebarkan isu-isu palsu dan membuat propaganda bahawa kerajaan Perikatan tidak mempedulikan masyarakat India sehingga mengancam kedudukan bangsa, agama dan bahasa masyarakat India pada ketika it. Walau bagaimanapun, beliau tidak pernah jemu menasihatkan orang India supaya tidak terpedaya dengan isu-isu palsu dan terus bekerjasama serta mengekalkan perpaduan agar Malaysia terus kekal sebagai negara yang aman.
Beliau berpegang kuat kepada polisi apa yang difikirkan benar dan adil perlu diteruskan. Beliau tidak pernah menganjak daripada pendiriannya bahan melaksanakan sesuatu perlu mengutamakan kepentingan semua kaum di Malaysia. Tun Sambanthan tidak memberi penekanan secara berasingan untuk menjalankan kewajipannya sebagai Presiden MIC. Tanggungjawab yang dijalankan sebagai Menteri memadai bagi orang India dan turut memenuhi keperluan mereka di Tanah Melayu.

3.0 KESIMPULAN

Setelah menjalankan kajian ini, pengkaji dapat membuat kesimpulan bahawa kajian ini boleh menjadi suatu medium yang wajar digunakan bagi memperkenalkan tokoh sejarah iaitu Tun V.T. Sambanthan dengan mengkaji dan mengenal pasti latar belakang, penglibatan awal, usaha, peranan dan sumbangan yang diberikan oleh beliau sepanjang tempoh perkhidmatan beliau dalam bidang politik. Selain itu, melalui kajian ini, pengkaji juga dapat mengetahui sejarah hidup tokoh dan menjadikannya sebagai suatu inspirasi bagi pengkaji serta pembaca untuk mencapai kejayaan sendiri pada masa hadapan. Pengkaji juga berasa sangat bersyukur kerana dapat melakukan kajian ini mengenai seorang insan yang begitu menarik, berwibawa, bertanggungjawab, prihatin dan penyayang, dan mengharapkan bahawa melalui kajian ini, lebih ramai orang dapat menghayati jasa dan sumbangan Tun V.T. Sambanthan terhadap rakyat Malaysia dan masyarakat India.


NOTA HUJUNG
1 “Tun V.T. Sambanthan believed in truthfulness and inclusiveness”, TheStar Online, 3 September 2017
 (diakses pada 24 Februari 2017)
http://www.star2.com/people/2015/09/03/tun-v-t-sambanthan-believed-in-truthfulness-and-inclusiveness/
2 “Defender of the Indian Community”, TheStar online, 16 Julai 2007
(diakses pada 24 Februari 2017)
http://www.thestar.com.my/opinion/letters/2007/07/16/defender-of-indian-community
3 “Tun VT Sambanthan”, Penatokoh
(diakses pada 25 Februari 2017)
http://penatokoh.blogspot.my/2014/02/tun-vt-sambathan.html
4 Arumugam Raman. TUN V.T. SAMBANTHAN: Pembela Masyarakat India di Malaysia. Kedah: Penerbit Universiti Utara Malaysia (UUM), 2015.
5 “V.T. Sambanthan”, Wikipedia
 (diakses pada 14 Mac 2017)
https://en.wikipedia.org/wiki/V._T._Sambanthan
6 Ummadevi Suppiah. Tun V.T. Sambanthan: Pemimpin Berjiwa Rakyat. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2004.
7 Puan Deva Kunjari A/P Tun V.T. Sambanthan, wawancara melalui panggilan telefon, 21 Mac 2017



BIBLIOGRAFI

Buku Ilmiah
Arumugam Raman. TUN V.T. SAMBANTHAN: Pembela Masyarakat India di Malaysia. Kedah: Penerbit Universiti Utara Malaysia (UUM), 2015.

Ummadevi Suppiah. Tun V.T. Sambanthan: Pemimpin Berjiwa Rakyat. Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, 2004.

P. Chandrakantham. Perjuangan Hidup Politik Masyarakat India di Malaysia. Selangor: Aswini Creations, 1995.


Laman Web
Penatokoh. Tun V.T. Sambanthan. http://penatokoh.blogspot.my/2014/02/tun-vt-sambathan.html

The Star. Defender of the Indian Community. http://www.thestar.com.my/opinion/letters/2007/07/16/defender-of-indian-community

Star2. Tun V.T. Sambanthan believed in truthfulness and inclusiveness. http://www.star2.com/people/2015/09/03/tun-v-t-sambanthan-believed-in-truthfulness-and-inclusiveness/

The Star. The tough negotiator. http://www.thestar.com.my/opinion/letters/2007/07/16/the-tough-negotiator

Wikipedia (English). Tun V.T. Sambanthan. https://en.wikipedia.org/wiki/V._T._Sambanthan

Wikipedia (Bahasa Melayu). Tun V.T. Sambanthan. https://ms.wikipedia.org/wiki/V._T._Sambanthan

Comments

Popular Posts