ad

Tips Menjawab Esei Kedaulatan PA Penggal 1

Antara tips yang diberikan oleh guru saya, beberapa penceramah dan penanda berpengalaman, serta tips saya sendiri. Selalunya, calon diberikan dua soalan Kedaulatan dan satu soalan Tadbir Urus. Soalan Kedaulatan biasanya memerlukan lebih banyak pengetahuan am, idea sendiri, dan kemahiran penjelasan idea-idea tersebut. Bagi saya, soalan Kedaulatan lebih mudah dijawab. Soalan Tadbir Urus pula mudah dijawab jika pelajar rajin membaca dan memahami bahagian Tadbir Urus dalam buku teks/rujukan.

Pemeriksa akan menggunakan skema jawapan yang disediakan semasa menanda esei anda, tetapi jika isi yang diberikan adalah munasabah, markah tetap akan diberikan walaupun isi anda tiada dalam skema.

TIPS UMUM
1. Baca soalan beberapa kali dan gariskan kehendak soalan. Pelajar kerap mendapat markah rendah untuk esei kerana isi yang diberi tidak menepati kehendak soalan.
- Jika soalan berbentuk seperti ini : "teknologi maklumat seperti Internet," maksudnya isi yang diberikan mesti berkaitan Internet dengan spesifik sahaja dan bukannya bentuk IT yang lain.
2. Tentukan nisbah isi yang betul.
    Nisbah isi yang biasa digunakan: 5, 2+3, 3+2, 1+4, 1+1+3, 1+2+2
    NISBAH 4+1 TIDAK DITERIMA!
    Isi pertama dalam nisbah 1+4, 1+1+3 atau 1+2+2 itu ialah isi yang sudahpun diberi dalam soalan, dan WAJIB DIGUNAKAN. 4 lagi isi perlu difikirkan sendiri.
3. Buat dahulu rangka karangan. Jika tidak cukup isi, anda sempat lagi cuba soalan lain.
4. Pastikan anda menulis Pendahuluan DAN Penutup walaupun isi tidak mencukupi. Jika salah satu pun tiada, markah akan dipotong. Kedua-dua perenggan ini tidak perlu ditulis panjang sangat, tiga ayat sahaja pun mencukupi kerana markahnya hanya 1m, dan pastikan kehendak soalan ditulis dengan jelas.
5. Pastikan huraian menepati isi.
    Jika isi betul dan huraian salah, 1 markah diberikan. 
    Jika isi salah dan huraian betul, tiada markah diberikan.
6. Cuba menggunakan nama jabatan-jabatan kerajaan dan NGO supaya memberikan pemeriksa tanggapan bahawa anda berpengetahuan tinggi dan pandai menjelaskan isi. Ini mungkin dapat membantu anda mendapat markah lebih. TETAPI PASTIKAN ANDA MENGGUNAKAN NAMA YANG BETUL, JIKA TIDAK MARKAH AKAN DIPOTONG.
Contoh 1: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  
                 Sektor Pencegah Rasuah Malaysia   X
Contoh 2: (PERHILITAN) - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara   
7. JANGAN tulis mengenai isu-isu sensitif dan jangan menuduh mana-mana pihak tertentu tentang kesalahan besar. Contohnya, jangan sebut bahawa pihak polis selalu menerima rasuah, dan jangan sentuh isu negatif mana-mana ahli politik. Markah akan dipotong serta-merta.


TIPS ISI CADANGKAN LANGKAH
1. Pastikan cadangan/langkah yang diberikan adalah yang munasabah dan bermanfaat dalam jangka masa pendek. Jangan berikan cadangan yang sudahpun diaplikasikan oleh pihak berkuasa.
Jika terpaksa guna langkah yang sudahpun diaplikasikan, gunakan maksud "lebihkan/banyakkan"
Contoh: Pihak kerajaan perlu menganjurkan kempen anti-dadah.  X
              Pihak kerajaan perlu menganjurkan lebih banyak kempen anti-dadah.  
2. Berikan huraian yang mecukupi. Pastikan isi anda tidak terlalu umum.


TIPS ISI LANGKAH YANG TELAH DIAMBIL
1. Cari langkah-langkah yang diambil oleh pihak berkuasa dalam artikel-artikel dan laman-laman rasmi kerajaan untuk isu-isu yang kerap disoalkan seperti kes rasuah, gejala pembuangan bayi dan sebagainya.
Contoh 1: Terdapat Talian Bebas Tol Anti Buli (ADU DISIPLIN) pada laman rasmi Kementerian Pendidikan yang boleh digunakan oleh mangsa buli.
Contoh 2: Pihak kerajaan telah memasang kamera AES (Sistem Penguatkuasaan Automatik) bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya/kes rasuah.
JANGAN BUAT ISI SENDIRI, FAKTA MESTI TEPAT!


TIPS SOALAN PUNCA DAN KESAN
1. Banyakkan bacaan tambahan dan pastikan sebab yang diberikan adalah munasabah.
2. Jika sebahagian soalan ialah Punca dan sebahagian lagi BUKAN Kesan, Kesan boleh digunakan sebagai huraian. Vice versa untuk soalan Kesan, Punca boleh digunakan sebagai huraian juga.
JIKA SEBAHAGIAN SOALAN IALAH PUNCA DAN SEBAHAGIAN LAGI IALAH KESAN, JANGAN BAZIRKAN ISI BARU SEBAGAI HURAIAN ISI LAIN.


TIPS SOALAN PUNCA DAN LANGKAH
1. Banyakkan bacaan tambahan dan pastikan sebab yang diberikan adalah munasabah.
2. Jika sebahagian soalan ialah Punca dan sebahagian lagi adalah Langkah, calon boleh terbalikkan sahaja isi punca anda sebagai isi langkah.
Contoh: -Antara sebab berlaku kes pembuangan bayi ialah kurangnya didikan agama oleh ibu bapa.
              -Salah satu langkah yang boleh diambil untuk membendung kes pembuangan bayi adalah melalui didikan agama yang mencukupi.
Pastikan huraian anda tidak terlalu sama jika menggunakan kaedah ini.


PENGIRAAN JUMLAH MARKAH
Isi - 5m
Huraian - 5isi x3 = 15m
Bahasa - 4m
Impak (Pendahuluan dan Penutup) - 1m


PERINGATAN AKHIR
- Pastikan anda membaca soalan dengan teliti dan buat banyak latihan dalam mencari kehendak soalan
- Pastikan isi tidak terlalu umum, berikan penjelasan yang tepat dan mencukupi
- Jangan lupa untuk menulis pendahuluan dan penutup, walaupun nilainya 1 markah sahaja.

Comments

Post a Comment

Popular Posts